Al Hadith
Daripada Abdur Rahman bin Samurah R.A. berkata: Sekali peristiwa Rasulullah S.A.W. keluar, seraya berkata:
Sesungguhnya aku telah bermimpi ajaib malam kelmarin. Aku telah melihat seorang dari umatku telah didatangi oleh Malaikat maut untuk mengambil nyawanya, maka Malaikat itu telah terhalang oleh ketaatannya kepada kedua ibu bapanya.
Aku melihat juga seorang dari umatku telah disediakan untuk menerima siksa kubur, maka ia telah diselamatkan oleh wudhu’ nya.
Aku melihat juga seorang dari umatku dikerumuni oleh syaitan- syaitan, maka ia telah dibebaskan dari bahayanya oleh zikrullah.
Aku melihat juga seorang dari umatku telah diseret oleh Malaikat azab, maka segera menjelang sembahyangnya serta melepaskannya dari tangan mereka.
Aku melihat juga seorang dari umatku sedang ditimpa dahaga yang berat, setiap ia mendatangi sesuatu perigi, dihalang untuk meminum daripadanya, maka segera menjelang puasanya serta memberinya minum hingga ia merasa puas.
Aku melihat juga seorang dari umatku yang mengunjungi kumpulan para Nabi, yang ketika itu sedang duduk berkumpul- kumpul, setiap iamendekati mereka, ia diusir dari situ, maka menjelmalah mandi junubnya sambil memimpinnya ke kumpulanku seraya menunjuknya supaya duduk di sisiku.
Aku melihat juga seorang dari umatku dikabusi oleh gelap- gelita, di hadapannya gelap, di kanannya gelap, di kirinya gelap, di atas kepalanya gelap, di bawahnya juga gelap, sedang ia berada dalam keadaan bingung, maka menjelmalah haji dan umrahnya. Lalu mengeluarkannya dari suasana gelap- gelita itu dan memasukkannya ke dalam suasana terang benderang.
Aku melihat juga seorang dari umatku berbicara kepada kaum Mukminin, akan tetapi tidak seorang pun dari mereka yang mahu membalas bicaranya, maka menjelmalah silatur- rahimnya seraya menyeru orang- orang itu, katanya: Wahai kaum mukminin sambutlah bicaranya, lalu mereka pun berbicaralah dengannya.
Aku melihat juga seorang dari umatku sedang menepis- nepis bahang api dan percikannya dari mukanya, maka segera menjelmalah sedekahnya lalu menabiri muka dan kepalanya dari bahaya api itu.
Aku melihat juga seorang dari umatku sedang diseret oleh Malaikat Zabaniah ke merata tempat, maka menjelmalah Amar Ma’ruf dan Nahi Munkarnya seraya menyelamatkannya dari cengkaman mereka serta menyerahkannya pula kepada Malaikat Rahmat.
Aku melihat juga seorang dari umatku sedang merangkak- rangkak, antaranya dengan Tuhan dipasang hijab (tabir), maka menjelmalah budi pekertinya seraya memimpinnya sehingga dibuka hijab tadi dan masuklah ia ke hadrat Allah Taala.
Aku melihat juga seorang dari umatku terheret ke sebelah kiri oleh buku catitannya, maka menjelmalah perasaan takutnya kepada Allah lalu menukarkan tujuan buku catitan itu kearah kanan.
Aku melihat juga seorang dari umatku terangkat timbangannya, maka menjelmalah anak- anaknya yang mati kecil, lalu menekan timbangan itu sehingga menjadi berat pula.
Aku melihat juga seorang dari umatku sedang berdiri di pinggir Jahannam, maka menjelmalah perasaan gerunnya terhadap seksa Allah Taala, lalu membawa jauh dari tempat itu.
Aku melihat juga seorang dari umatku terjerumus ke dalam api neraka, maka menjelmalah air matanya yang mengalir kerana takut kepada Allah Taala, lalu menyelamatkannya dari api neraka itu.
Aku melihat juga seorang dari umatku sedang meniti Shirat (titian) manakala seluruh tubuhnya bergoncang, seperti bergoncangnya dedaun yang ditiup angina, maka menjelmalah baik sangkanya terhadap Allah Taala, lalu menenteramkan kegoncangannya itu dan mudahlah ia meniti hingga ke hujung titian itu.
Aku melihat juga seorang dari umatku sedang meniti Shirat, kadang kala ia merangkak dan kadang kala ia meniarap, maka menjelmalah selawatnya ke atas diriku, lalu ia pun memimpin tangannya dan mengajaknya berdiri dan meniti hingga ke penghujung titian itu.
Aku melihat seorang dari umatku sudah hampir tiba di pintu syurga, dan dengan sekonyong- konyong pintu- pintunya ditutup, maka menjelmalah penyaksiannya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, lalu membukakan pintu- pintu syurga itu untuknya, sehingga ia boleh memasukinya.
Aku melihat juga ada ramai orang yang digunting- gunting lidahnya, maka aku bertanya Jibril siapa gerangan mereka itu, maka Jibril menjawab: Mereka itulah orang- orang yang membawa mulut ke sana ke mari. Dan aku melihat juga orang- orang yang digantung dengan lidah- lidah mereka, maka aku bertanya Jibril siapa mereka itu, maka Jibril menjawab: Mereka itulah orang- orang yang melempar tuduhan terhadap kaum Mukminin dan Mukminat dengan tuduhan tanpa bukti.
Hadith ini telah disebut oleh Imam As- Sayuthi di dalam kitabnya Syarhus- Shudur, sambil berkata, ia telah dikeluarkan oleh At- Tabarani di dalam kitab Al- Kabir, Begitu pula oleh Al- Hakim At- Termidzi di dalam kitab Nawadirul- Ushul, dan Al- Isfahani di dalam kitabnya At- Targhib.
Wallahu A’lam
No comments yet. Be the first.
Leave a reply